Isnin, 15 Disember 2014

Nabi Ayub  AS dianugerahi Allah SWT dengan kekayaan daan anak-anak yang baik. Syaitan merasa dengki dan berazam untuk menggunakan apa juga cara untuk menyesatkan Nabi Ayub. Maka syaitan memusnahkan kebun-kebun dan menghancurkan harta perniagaannya.Dalam beberapa hari,Nabi Ayub yang pada asalnya merupakan seorang saudagar yang kaya raya menjadi miskin.Namun,saambil tersenyum baginda berkata kepada isteri dan anak-anaknya:

"Tak mengapa,itu semua harta yang Allah amanahkan kepada kita.Sekarang Allah berkenan untuk mengambilnya semula."

Syaitan menjadi semakin marah.Keimanan Nabi Ayub tidak goyah sedikit pun walau diuji dengan kemiskinan.Lalu syaitan menggoncangkan rumah kediaman Nabi Ayub sehingga runtuh dan membunuh kesemua anak-anaknya.Nabi Ayub pasrah dan berkata:

"Kita kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kita kembali"

Tidak lama kemudian,Nabi Ayub diserang penyakit kulit yang sukar diubati.Badannya lemah dan hanya mampu berbaring,tetapi baginda sentiasa berzikir.Baginda tidak pernah menyesal malah semakin kuat beribadah. Isteri Nabi Ayub tabah menjaga suami yang tercinta.Tetapi,apabila simpanan makanan telah habis,syaitan telah menghasut isteri Nabi Ayub sehingga beliau berkata:

"Sampai bila kita akan terus menderita begini? Harta benda telah habis,anak-anak semua meninggal sakit manakala abang pula tak juga sembuh. Mintalah kepada Allah agar menyembuhkan penyakitmu wahai suamiku".

Mendengar itu,Nabi Ayub berkata:

"Astaghfirullah,syaitan telah berjaya menggodamu. Ingatkah kamu berapa tahun Allah telah menganugerahkan kebahagian dan kemewahan kepada kita?"

"Lapan puluh tahun" jawab isterinya.

"Sungguh aku malu meminta Allah menghentikan cubaan ini,memandangkan sudah begitu lama kurnia dan anugerahnya dilimpahkan kepada kitaa. Kalau kamu tidak bersabar,pergilah dari rumah ini. Perbuatanmu ini sungguh membuat aku malu di hadapan Allah.Aku bersumpah bila sembuh kelak aku akan memukulmu dengan seratus sebatan."

Isteri Nabi Ayub beraasa menyesal kerana melukai perasaan suaminya. Dia pun pergi meninggalkan rumah itu. Kini tinggallah Nabi Ayub seorang diri menanggung derita. Dalam keadaan demikian Nabi Ayub mengadu kepada Allah SWT.

"Ya Allah,sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan. Ya Tuhanku,sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang."

Ucapan Nabi Ayub itu didengar oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman kepada baginda agar menghentakkan kaki ke tanah. Serta merta keluarlah satu mata air yang jernih dan sejuk. Nabi Ayub meminum air itu dan mandi. Kemudian seluruh penyakitnya hilang.

Selepas itu,Allah telah mengurniakan Nabi Ayub AS kebun-kebun dan harta benda yang lebih banyak daripada yang pernah dimilikinya. Isterinya yang datang untuk meminta maaf terkejut apabila mendapati Nabi Ayub telah sembuh. Baginda memaafkan isterinya itu,tetapi baginda terlanjur bersumpah untuk menyebatnya dengan seratus sebatan. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa Nabi Ayub tidak sampai hati untuk menghukum isterinya itu. Maka Allah SWT berfirman agar memukul dengan seratus helai jerami. Baginda kembali berkumpul bersama isterinya dan Allah telah mengurniakan keluarga Nabi Ayub dengan anak-anak keturunan yang salih bagi meneruskan keimanan dan ketabahan ayahanda mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan